Monday, April 13, 2009

Cameron Highlands, Pahang.


Iklim sejuk, ladang strawberi dan teh serta bangunan gaya Tudor di stesen peranginan tanah tinggi terbesar di Malaysia pasti menawan hati pelancong. Terdapat pelbagai aktiviti untuk anda nikmati di Tanah Tinggi Cameron, pusat peranginan tanah tinggi yang terbesar di Malaysia.
Bersiar-siar melalui perkampungan yang menarik, melawat taman rama-rama, ladang lebah dan strawberi serta ladang teh yang terhampar luas atau nikmati makanan lazat yang dihidangkan di Restoran Gaya Tudor - semua aktiviti yang menyeronokkan dan menenangkan tersedia di sini untuk anda.
Cuaca nyaman di sini memang tidak dapat ditandingi. Luangkan beberapa hari di sini, jauh dari kehangatan cuaca di tanah rendah dan anda pasti kembali segar untuk percutian anda seterusnya. Salah satu aktiviti popular di Tanah Tinggi Cameron atau Cameron Highlands ialah menikmati hidangan air teh dan biskut 'Scone'.
Tradisi asli Inggeris ini bermula di zaman penjajahan British apabila para pegawai Inggeris menggunakan lokasi di tanah tinggi ini sebagai tempat berehat yang jauh dari kehangatan cuaca di tanah rendah. Aktiviti memerhati burung dan menyusuri trek di hutan juga amat popular di kalangan pelawat di sini.
Tanah Tinggi Cameron yang terletak 1,500 meter dari aras laut mempunyai beberapa buah pekan kecil seperti Ringlet, Tanah Rata, Brinchang, Tringkap, Kuala Terla dan Kampung Raja. Tempat ini juga mudah dikunjungi.
Anda boleh tiba di Tanah Tinggi Cameron kurang dari sejam perjalanan melalui Lebuhraya Utara-Selatan atau kira-kira 3 setengah jam perjalanan sekiranya anda memandu dari Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment